13 MEI 2010
MAKLUMAN....


BLOG INI TELAH DIPINDAHKAN KE WEB LAIN...SILA KLIK DISINI UNTUK KE WEB BARU ...SEKIAN TERIMA KASIH...=)))


Kebencian Ideologi-ideologi Komunis Terhadap Islam
6 Mei 2010 by Mohamad Arib
Darwinisme turut menjadi asas kepada komunisme. Ia telah dijelaskan oleh pengasasnya yang pertama, Karl Marx dan Friedrich Engels. Kedua-duanya merupakan ateis, yang melihat penghapusan ke percayaan beragama merupakan sesuatu yang amat penting kepada komunisme, dan kedua-duanya memahami sejelas-jelasnya bahawa teori evolusi dapat membantu mereka mencapai hasrat yang diidam-idamkan.

Tidak berapa lama selepas buku Darwin diterbitkan, Engels menulis surat kepada Marx yang berbunyi: "Buku Darwin yang sedang saya baca ini amat bagus sekali."2 Pada 19 Disember 1860, Marx membalas, "Inilah buku yang mengandungi asas sejarah semula jadi untuk rujukan kita."3 Di dalam suratnya yang lain kepada seorang lagi rakan sosialis, Lassalle, yang bertarikh 16 Januari 1861, Marx menulis, "Hasil kerja Darwin adalah sangat penting dan memenuhi niat saya yang mana ia menyediakan asas kepada sains tulen untuk perjuangan kelas yang bersejarah,"4 maka dengan itu telah mendedahkan betapa pentingnya teori evolusi kepada komunisme.

Para diktator seperti Lenin, Trotsky, Stalin dan Mao Tse-tung telah memberikan komen mereka tentang komunisme, yang mana ia menunjukkan suatu hubungan ideologi kepada idea Darwin. Teori evolusi dijadikan asas pendidikan dan polisi pertanian di bawah rejim komunis. Semua pergerakan komunis menemui asas ideologi dan justifikasi apabila mereka melihat fahaman Darwinisme. 

Bagi ideologi komunis yang begitu terpengaruh dengan Darwinisme, masyarakat hanyalah "sekumpulan haiwan." Manusia adalah tidak bernyawa, makhluk yang dungu, "mesin manusia-haiwan", dan tidak berguna. Hukum "Ada banyak kumpulan haiwan, jadi tidak mengapa jika satu hilang" telah menjadi asas pemerintahan. Mereka yang cacat dan tidak berupaya berkerja akan disingkirkan daripada kumpulan tersebut dan akan dibiarkan mati. Mereka dilihat sebagai sesuatu yang sakit dan berbahaya. Tidak wujud langsung sebarang perasaan kasih-sayang, belas kasihan, dan kesetiaan. Memandangkan mereka percaya tiada kehidupan selepas kematian, maka mereka hidup dengan menggunakan seluruh kuasa yang dimiliki. Memandangkan semua orang adalah musuh dan pesaing di dalam pergelutan untuk terus hidup, maka segala tindak-tanduk dilakukan untuk menentang mereka, dan kebencian menjadi satu perkara lumrah.

Adalah sesuatu yang semulajadi bagi ideologi komunis, yang mewujudkan suatu masyarakat tanpa semangat moral, sprituil dan juga kemanusiaan, turut memusuhi agama. Sifat-sifat mulia seperti nilai-nilai moral, cinta, sayang, belas kasihan, sanggup berkorban, berkerjasama dan saling bermaafan tidak mendapat sebarang tempat di dalam model yang diwujudkan komunisme. Apabila seseorang membaca tulisan-tulisan Marx, Engels, Lenin, Stalin, Trotsky, Mao dan para pendukung ideologi komunis yang lain, mereka akan dapat melihat kebenaran hakikat tersebut. Marx menggambarkan agama sebagai "candu masyarakat" dan juga sebagai budaya yang dibentuk oleh kelas pemerintah yang hanya melenakan orang-orang miskin. Oleh itu, beliau mencadangkan agar sebarang kepercayaan beragama dihapuskan jika komunisme mahu bertapak dengan kukuhnya.

Di dalam artikel Lenin yang bertajuk "Socialism and Religion" (Sosialisme dan Agama), yang diterbitkan pada 1905 di dalam sebuah majalah berbahasa Rusia Novaya Zhizn, beliau menggambarkan agama sebagai "kabus" yang harus dihapuskan, dan juga turut menyusun propaganda komunis yang akan dilaksanakan. Di dalam "The Attitude of the Workers' Party to Religion" (Sikap Parti Buruh Terhadap Agama) yang diterbitkan di dalam majalah Proletary pada tahun 1909, beliau sebagai pemimpin Parti Demokratik Sosial Rusia (yang kemudiannya dikenal sebagai Parti Komunis) telah menulis:

Asas kepada falsafah Marxisme, seperti Marx dan Engels berulang-kali isytiharkan, ialah dialektikal materialisme, yang telah mengambil alih sepenuhnya tradisi bersejarah materialisme abad kelapan belas di Perancis dan juga materialisme Feuerbach (separuh masa pertama abad kesembilan belas) di Jerman yang mana ia merupakan ateis mutlak dan memusuhi semua agama dengan hebatnya. "Agama adalah candu masyarakat." Pernyataan rasmi oleh Marx ini telah menjadi batu asas kepada pandangan ahli-ahli Marxis terhadap agama. 5 

Kenyataan tersebut menunjukkan permusuhan Marx terhadap semua agama, dan juga telah mendedahkan kejahilannya tentang perkara tersebut. Kenyataan-kenyataan tersebut tidak mencerminkan kebenaran hakiki. Komunisme dan ideologi-ideologi ateis yang lain menyebabkan manusia tidak dapat berfikir, dan melakukan apa sahaja yang diarahkan tanpa banyak soal. Adalah sesuatu yang jelas bahawa manusia yang tidak pernah berfikir tidak akan mencapai hakikat kebenaran, dan seterusnya menjadikan hidup mereka penuh dengan tipuan dan kesalahan. Dengan berfikir, manusia dapat memahami tujuan dunia ini diciptakan, dan juga sebab kewujudan diri mereka sendiri. Kebenaran ini telah dijelaskan di dalam al-Quran:

Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan segala apa yang ada antara keduanya dengan tujuan main-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan hak (kebenaran), tetapi majoriti mereka tidak mengetahui. (Ad-Dukhan, 38-39)

Oleh itu, setiap individu harus memikirkan pertama sekali tentang tujuan penciptaannya, dan kemudian tentang makhluk atau jasad yang dilihat di alam ini dan juga yang akan dijumpai sepanjang kehidupan mereka. Seseorang yang gagal berfikir hanya akan dapat memahami kebenarannya setelah dia mati, di hadapan Allah, tetapi ketika itu segalanya sudah terlewat. Berfikirlah sementara kita masih punya masa, dan kemudian buatlah kesimpulan. Ia pasti akan memberikan faedah kepada kita di Hari Akhirat nanti. Itulah sebabnya Allah menyeru manusia, dengan menggunakan utusan-utusan dan juga kitab-kitab-Nya, untuk berfikir tentang tujuan penciptaannya dan seluruh alam semesta ini:

Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) mereka? Allah tidak menciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan untuk waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya ramai manusia yang ingkar tentang pertemuan dengan Tuhannya. (Ar-Ruum, 8)

Namun demikian, musuh-musuh agama seperti para pemimpin komunis, telah melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas yang menyebabkan ramai manusia berpaling dari agama, sehingga mendakwa agama menghalang manusia dari berfikir. Namun seperti yang telah kita lihat, agama sebenarnya mengajak manusia untuk berfikir.


Kesimpulan

Secara ringkas, telah jelas bahawa ketiga-tiga ideologi yang memusuhi dunia Islam itu telah berakar-umbi dari budaya ateis yang telah menguasai dunia Barat pada kurun kesembilan belas. 

Hal ini sekali lagi menunjukkan bahawa betapa pentingnya perang intelektual dilakukan untuk menentang segala fahaman ateisme, yang mana ia bukan sahaja suatu kuasa yang cuba membinasakan kehidupan manusia di Akhirat dengan menghapuskan kepercayaan beragama. Sebaliknya ia juga, pada masa yang sama, turut bertujuan untuk memusnahkan dunia ini, menukarkannya menjadi sebuah tempat yang dipenuhi kekacauan dan peperangan, dan ia melihat umat Islam sebagai sasaran utama. 
5 Mei 2010
by Mohamad Arib


RAKYAT Britain akan keluar mengundi untuk memilih kerajaan baru pada Khamis ini. Pilihan raya di Britain, seperti pilihan raya presiden di Amerika Syarikat (AS) sering mendapat perhatian kerana personaliti yang terbabit serta dasar politiknya ke atas negara lain pada peringkat antarabangsa. 


Umumnya dunia menaruh harapan tinggi apabila Barack Obama bertanding jawatan Presiden Amerika Syarikat kerana dasar presiden sebelumnya, George W Bush yang menindas dan tidak disukai pada peringkat antarabangsa.

Begitu juga apabila Tony Blair, yang berjaya merampas kuasa daripada Konservatif mengambil alih, akhirnya turut dikecam kerana mengikut telunjuk Bush dalam serangan di Iraq dan peperangan di Asia Barat.

Apapun, Britain kini menghadapi satu lagi pilihan raya bukan saja bagi memilih kerajaan baru, malah Perdana Menteri yang akan memimpinnya bagi tempoh lima tahun akan datang. Apabila Blair berundur, rakyat Britain turut menaruh harapan tinggi terhadap Gordon Brown bagi mengatasi masalah ekonominya, apatah lagi beliau sebelum ini adalah Menteri Kewangan. 

Sejak 2007, kepemimpinan Brown tidak begitu nampak menyerlah dan Britain mengalami defisit besar. Brown mungkin tidak bernasib baik kerana parti yang diwarisinya daripada Blair sudah tidak popular lagi berikutan dasarnya yang menyokong AS dalam peperangan di Iraq. 

Selain menindas rakyat Iraq dan berjaya menyingkir serta menghapuskan pemimpinnya, Saddam Hussein, anggota tentera Britain juga ramai yang terkorban dalam peperangan yang dilancarkan atas alasan senjata pemusnahan besar, yang kemudian tiada bukti. 

Kini tarikh 6 Mei akan menjadi ‘medan peperangan’ bagi Parti Buruh pimpinan Brown, Parti Konservatif pimpinan David Cameron dan Parti Liberal Demokrat pimpinan Nick Clegg. 
Disebabkan Britain mengamalkan ‘check and balance’ menerusi sistem dua parti, pilihan raya umum Parlimen adalah peluang terbaik bagi rakyatnya membuat penentuan berdasarkan prestasi parti politik yang bertanding. Andainya mereka mahukan perubahan, pilihan raya inilah tempat yang akan menjadi penentunya. 

Selalunya penentuan yang akan dibuat adalah di antara Buruh dan Konservatif, sedangkan Liberal Demokrat tetap kekal sebagai parti ketiga yang mempunyai suara tetapi tidak begitu berpengaruh berbanding dua parti tadi. Justeru, sejak Blair mengambil alih kerajaan daripada John Major pada 1996, Parti Konservatif bertindak selaku pembangkang dengan Kabinet bayangannya sendiri, seperti keadaan sama ketika Margaret Thatcher memerintah Britain dari 1979 hingga 1990, Parti Buruh bertindak selaku pembangkang dan begitulah seterusnya. 

Pilihan raya di Britain kali ini menyaksikan beberapa perubahan. Pertama, ia mengadakan debat pemimpin ala-Amerika Syarikat buat kali pertama di antara ketiga-tiga pemimpin parti; kedua, debat itu berjaya menonjolkan ketokohan pemimpin Lib Dem, Nick Clegg, sekali gus menaikkan imej parti yang sebelum ini tidak begitu dipandang tinggi di kalangan pengundi. 

Debat itu juga berjaya menonjolkan ketokohan pemimpin Konservatif, David Cameron, yang disebut-sebut akan menggantikan Brown sebagai Perdana Menteri. 

Parti Buruh sudah memerintah selama 13 tahun dan andainya teori sistem dua parti itu diguna pakai, keputusan pilihan raya Khamis ini mungkin akan menyaksikan perubahan kerajaan di Britain. Malah Brown pernah tanpa disengajakan mengakui bahawa Cameron kini sedang mengatur langkah untuk ke Downing Street, tetapi kemudian beliau menjelaskan bahawa komennya itu bukannya bererti beliau mengaku kalah. 

Beliau berkata, komennya hanya sekadar ingin memberi peringatan mengenai hasil tinjauan pendapat yang dilakukan pelbagai pihak. Tinjauan pendapat oleh firma tinjauan Harris, yang dilakukan bagi akhbar The Daily Mail Sabtu lalu menunjukkan Parti Buruh hanya memperoleh 24 peratus, berbanding Konservatif (33 peratus) dan Liberal Demokrat (32 peratus). 

Perkara baru ketiga yang dijangka dalam pilihan raya ini adalah kemungkinan buat kali pertama juga Britain mempunyai Parlimen tergantung, sejak 1974, kerana tiada satu pun parti dikatakan mampu memperoleh sokongan majoriti jelas bagi membentuk kerajaan. 

Parti Konservatif dijangka akan mendapat bilangan kerusi terbanyak di House of Commons, tetapi tidak mencukupi sebagai majoriti jelas, sekali gus mewujudkan situasi yang dikenali sebagai Parlimen tergantung. 

Dalam hubungan ini, Parti Liberal Demokrat yang berpendirian sederhana boleh menjadi pengimbang kuasa bagi mewujudkan pakatan dengan parti lain bagi membentuk kerajaan. 

Namun masalahnya ialah parti Liberal Demokrat tidak boleh bekerjasama dengan Parti Konservatif, malah Sabtu lalu, Nick Clegg secara terbuka berkata, beliau lebih cenderung membentuk pakatan dengan Parti Buruh daripada Konservatif. Clegg memberitahu akhbar Guardian bahawa ada ‘perbezaan ketara’ di antara beliau dengan Cameron dan menyifatkan Liberal Demokrat dan Buruh sebagai ‘dua sayap dalam tradisi progresif politik Britain’. 

Akhbar juga memainkan peranan dalam menentukan kejayaan parti politik yang bertanding menjelang pilihan raya kerana laporan media pastinya turut memberi impak kepada parti yang bertanding. Sekurang-kurangnya dua akhbar, The Times dan The Guardian mengisytiharkan Sabtu lalu bahawa mereka tidak lagi menyokong Parti Buruh yang memerintah. 

The Times menyatakan ia akan menyokong Konservatif buat pertama kali dalam tempoh 18 tahun kerana pemimpinnya, David Cameron ‘boleh menjamin masa depan lebih baik dan kukuh kepada negara ini’ lapor akhbar itu. Sementara itu, The Guardian pula mengisytiharkan sokongan kepada Liberal Demokrat. The Sun, akhbar paling laris di Britain dan majalah isu semasa, The Economist juga menunjukkan sokongan kepada Konservatif. 

Selain tinjauan pendapat, laporan akhbar sejak akhir-akhir ini juga tidak menyebelahi Brown, yang belum pernah mengetuai pilihan raya umum selaku pemimpin Parti Buruh. Rabu lalu, tanpa menyedari bahawa mikrofon masih terpasang, beliau memarahi seorang penyokong Parti Buruh berusia 66 tahun kerana mempertikaikan dasarnya dan merujuk kepadanya sebagai ‘bigot’ atau ‘wanita berfikiran sempit’.
Related Posts with Thumbnails