5 Mei 2010
by Mohamad Arib


RAKYAT Britain akan keluar mengundi untuk memilih kerajaan baru pada Khamis ini. Pilihan raya di Britain, seperti pilihan raya presiden di Amerika Syarikat (AS) sering mendapat perhatian kerana personaliti yang terbabit serta dasar politiknya ke atas negara lain pada peringkat antarabangsa. 


Umumnya dunia menaruh harapan tinggi apabila Barack Obama bertanding jawatan Presiden Amerika Syarikat kerana dasar presiden sebelumnya, George W Bush yang menindas dan tidak disukai pada peringkat antarabangsa.

Begitu juga apabila Tony Blair, yang berjaya merampas kuasa daripada Konservatif mengambil alih, akhirnya turut dikecam kerana mengikut telunjuk Bush dalam serangan di Iraq dan peperangan di Asia Barat.

Apapun, Britain kini menghadapi satu lagi pilihan raya bukan saja bagi memilih kerajaan baru, malah Perdana Menteri yang akan memimpinnya bagi tempoh lima tahun akan datang. Apabila Blair berundur, rakyat Britain turut menaruh harapan tinggi terhadap Gordon Brown bagi mengatasi masalah ekonominya, apatah lagi beliau sebelum ini adalah Menteri Kewangan. 

Sejak 2007, kepemimpinan Brown tidak begitu nampak menyerlah dan Britain mengalami defisit besar. Brown mungkin tidak bernasib baik kerana parti yang diwarisinya daripada Blair sudah tidak popular lagi berikutan dasarnya yang menyokong AS dalam peperangan di Iraq. 

Selain menindas rakyat Iraq dan berjaya menyingkir serta menghapuskan pemimpinnya, Saddam Hussein, anggota tentera Britain juga ramai yang terkorban dalam peperangan yang dilancarkan atas alasan senjata pemusnahan besar, yang kemudian tiada bukti. 

Kini tarikh 6 Mei akan menjadi ‘medan peperangan’ bagi Parti Buruh pimpinan Brown, Parti Konservatif pimpinan David Cameron dan Parti Liberal Demokrat pimpinan Nick Clegg. 
Disebabkan Britain mengamalkan ‘check and balance’ menerusi sistem dua parti, pilihan raya umum Parlimen adalah peluang terbaik bagi rakyatnya membuat penentuan berdasarkan prestasi parti politik yang bertanding. Andainya mereka mahukan perubahan, pilihan raya inilah tempat yang akan menjadi penentunya. 

Selalunya penentuan yang akan dibuat adalah di antara Buruh dan Konservatif, sedangkan Liberal Demokrat tetap kekal sebagai parti ketiga yang mempunyai suara tetapi tidak begitu berpengaruh berbanding dua parti tadi. Justeru, sejak Blair mengambil alih kerajaan daripada John Major pada 1996, Parti Konservatif bertindak selaku pembangkang dengan Kabinet bayangannya sendiri, seperti keadaan sama ketika Margaret Thatcher memerintah Britain dari 1979 hingga 1990, Parti Buruh bertindak selaku pembangkang dan begitulah seterusnya. 

Pilihan raya di Britain kali ini menyaksikan beberapa perubahan. Pertama, ia mengadakan debat pemimpin ala-Amerika Syarikat buat kali pertama di antara ketiga-tiga pemimpin parti; kedua, debat itu berjaya menonjolkan ketokohan pemimpin Lib Dem, Nick Clegg, sekali gus menaikkan imej parti yang sebelum ini tidak begitu dipandang tinggi di kalangan pengundi. 

Debat itu juga berjaya menonjolkan ketokohan pemimpin Konservatif, David Cameron, yang disebut-sebut akan menggantikan Brown sebagai Perdana Menteri. 

Parti Buruh sudah memerintah selama 13 tahun dan andainya teori sistem dua parti itu diguna pakai, keputusan pilihan raya Khamis ini mungkin akan menyaksikan perubahan kerajaan di Britain. Malah Brown pernah tanpa disengajakan mengakui bahawa Cameron kini sedang mengatur langkah untuk ke Downing Street, tetapi kemudian beliau menjelaskan bahawa komennya itu bukannya bererti beliau mengaku kalah. 

Beliau berkata, komennya hanya sekadar ingin memberi peringatan mengenai hasil tinjauan pendapat yang dilakukan pelbagai pihak. Tinjauan pendapat oleh firma tinjauan Harris, yang dilakukan bagi akhbar The Daily Mail Sabtu lalu menunjukkan Parti Buruh hanya memperoleh 24 peratus, berbanding Konservatif (33 peratus) dan Liberal Demokrat (32 peratus). 

Perkara baru ketiga yang dijangka dalam pilihan raya ini adalah kemungkinan buat kali pertama juga Britain mempunyai Parlimen tergantung, sejak 1974, kerana tiada satu pun parti dikatakan mampu memperoleh sokongan majoriti jelas bagi membentuk kerajaan. 

Parti Konservatif dijangka akan mendapat bilangan kerusi terbanyak di House of Commons, tetapi tidak mencukupi sebagai majoriti jelas, sekali gus mewujudkan situasi yang dikenali sebagai Parlimen tergantung. 

Dalam hubungan ini, Parti Liberal Demokrat yang berpendirian sederhana boleh menjadi pengimbang kuasa bagi mewujudkan pakatan dengan parti lain bagi membentuk kerajaan. 

Namun masalahnya ialah parti Liberal Demokrat tidak boleh bekerjasama dengan Parti Konservatif, malah Sabtu lalu, Nick Clegg secara terbuka berkata, beliau lebih cenderung membentuk pakatan dengan Parti Buruh daripada Konservatif. Clegg memberitahu akhbar Guardian bahawa ada ‘perbezaan ketara’ di antara beliau dengan Cameron dan menyifatkan Liberal Demokrat dan Buruh sebagai ‘dua sayap dalam tradisi progresif politik Britain’. 

Akhbar juga memainkan peranan dalam menentukan kejayaan parti politik yang bertanding menjelang pilihan raya kerana laporan media pastinya turut memberi impak kepada parti yang bertanding. Sekurang-kurangnya dua akhbar, The Times dan The Guardian mengisytiharkan Sabtu lalu bahawa mereka tidak lagi menyokong Parti Buruh yang memerintah. 

The Times menyatakan ia akan menyokong Konservatif buat pertama kali dalam tempoh 18 tahun kerana pemimpinnya, David Cameron ‘boleh menjamin masa depan lebih baik dan kukuh kepada negara ini’ lapor akhbar itu. Sementara itu, The Guardian pula mengisytiharkan sokongan kepada Liberal Demokrat. The Sun, akhbar paling laris di Britain dan majalah isu semasa, The Economist juga menunjukkan sokongan kepada Konservatif. 

Selain tinjauan pendapat, laporan akhbar sejak akhir-akhir ini juga tidak menyebelahi Brown, yang belum pernah mengetuai pilihan raya umum selaku pemimpin Parti Buruh. Rabu lalu, tanpa menyedari bahawa mikrofon masih terpasang, beliau memarahi seorang penyokong Parti Buruh berusia 66 tahun kerana mempertikaikan dasarnya dan merujuk kepadanya sebagai ‘bigot’ atau ‘wanita berfikiran sempit’.
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails