TONY BLAIR...PENJENAYAH PERANG!!!
27April 2010 by Mohamad Arib

Adakah insiden Muntadar Al-Zeidi membaling kasut ke atas bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush akan berulang tetapi kali ini berlaku di Malaysia?
Itulah yang diikrarkan oleh 53 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyambut kedatangan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair yang dijangka tiba di Sunway Lagoon Sabtu ini untuk menyampaikan ucapan pada National Achievers Congress.
Walaupun setakat ini kedatangan penjenayah perang itu belum diumumkan secara rasmi, namun pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini, 53 NGO terbabit yang diketuai Perdana Global Peace Organization (PGPO) telah sepakat untuk memalukan Blair.
Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Kehormat PGPO, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Blair yang dijemput oleh sebuah pertubuhan dari Singapura untuk menghadiri program tersebut tidak seharusnya diterima sebagai penasihat oleh mana-mana pihak.
"Dia seorang penjenayah yang mengaku berbohong semasa menyerang Iraq bersama sekutunya, orang yang bertanggungjawab menyebabkan kematian lebih sejuta rakyat Iraq yang tidak berdosa tidak harus diterima kedatangannya di negara ini.
"Bagaimana ada orang yang boleh fikir orang ini boleh jadi penasihat dan memberi pendapat tentang sesuatu perkara, saya tidak boleh faham kerana lelaki ini bertanggungjawab terhadap kemusnahan Iraq.
"Bagaimana anda boleh menaja dan mendapat nasihat daripada seorang pembohong, adakah anda juga ingin berbohong dalam menjalankan perniagaan anda, saya memandang jijik kepada penaja dan penganjur kongres tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan tokoh akademik, Dr. Chandra Muzaffar.
Serentak itu, Dr. Mahathir menyeru rakyat Malaysia supaya menyatakan sokongan dengan menyertai demonstrasi aman sebagai tanda membantah tindakan tidak berperikemanusiaan Blair terhadap rakyat Iraq dan Afghanistan.
Ditanya sama ada tindakan tersebut mendapat sokongan daripada kerajaan dan pihak keselamatan, beliau berkata:
"Saya fikir kerajaan tak marah, kalau mereka tanya siapa yang suruh (berdemonstrasi), kata saya yang suruh, biar mereka tangkap saya."
Sementara itu Ibrahim berjanji, 'beribu-ribu' selipar dijangka menyambut kedatangan Blair jika beliau menjejakkan kaki ke negara ini.
Sehubungan itu, beliau meminta gabungan NGO terbabit menyebarkan kepada orang ramai menggunakan apa juga kaedah termasuk laman web sosial Twitter, Facebook dan khidmat pesanan ringkas (SMS) supaya berkumpul di Sunway Lagoon Sabtu ini untuk menentang kedatangan Blair.
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails